Sabtu, 15 Januari 2011

Gaya Hidup Sihat

Gaya Hidup Sihat 

Amalan hidup sihat amat penting untuk menjaga tahap kesihatan. Oleh sebab itu, amalan ini perlu dilakukan setiap masa bagi meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan diri. Untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan diri, adik-adik perlu mengamalkan gaya hidup sihat setiap hari. Dalam kehidupan seharian, adik-adik perlu mengamalkan pemakanan yang sihat, senaman, menjaga berat badan, dan penjagaan kesihatan yang sempurna. 

Banyak Faedah Bersenam 

Senaman merupakan aktiviti terpenting untuk cara hidup yang 

sihat. Oleh hal demikian, adik-adik disarankan supaya mengamalkan aktiviti ini bagi menjamin kesihatan diri. 

Adik-adik akan mendapat faedahnya sekiranya dilakukan dengan cara yang betul. Adik-adik perlu melakukan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, dan masa yang diambil ialah antara 20 hingga 30 minit setiap kali senaman. 

Antara faedah yang adik-adik dapat ketika bersenam ialah tubuh badan menjadi cergas, dapat mengawal berat badan, membina stamina dan kekuatan, menguatkan kelenturan sendi, gerakan badan dan mencegah kecederaan, meningkatkan fungsi jantung, paru-paru dan peredaran darah, menguatkan otot, tulang dan sendi, mengurangkan tekanan mental, dan sebagainya. 

Dalam melakukan senaman, adik-adik boleh melakukan secara bersendirian, bersama keluarga atau kawan-kawan. Dalam hal ini, adik-adik hendaklah sentiasa melakukan senaman bagi mengekalkan tahap kesihatan. Terdapat pelbagai jenis senaman yang adik-adik boleh lakukan sama ada secara bersendirian atau berkumpulan. Antara jenis senaman ialah berjalan kaki, lompat tali, berbasikal, berjoging, berenang, bermain badminton, bersenamrobik, dan sebagainya. 


Cara Pemakanan yang Sihat 

Selain aktiviti bersenam, penjagaan dari segi pemakanan juga merupakan cara terbaik dalam gaya hidup sihat. Dalam hal ini, adik-adik hendaklah mengamalkan pengambilan makanan berpandukan kepada makan secara sihat. Untuk memudahkan adik-adik, gunakan piramid makanan sebagai panduan pemakanan adik-adik. 

Mengikut piramid pemakanan, adik-adik perlu makan paling banyak bijirin, produk bijirin, dan ubi. Adik-adik perlu makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran, manakala makan secara sederhana ialah ikan, ayam, daging, kekacang, susu, dadih, dan keju juga. Bagi makanan yang mempunyai banyak lemak, minyak, garam, dan gula, perlu diambil dengan jumlah yang sedikit. 

Adik-adik perlu mengambil makanan yang mengandungi karbohidrat, protein, vitamin, zat-zat galian, dan lemak. Kumpulan makanan ini menjadikan adik-adik lebih sihat. Hal ini kerana kumpulan ini membekalkan makanan yang kaya dengan kalsium, zat besi, vatamin A, B kompleks, C, protein, dan gentian. Tegasnya, pengambilan makanan yang seimbang baik untuk kesihatan diri. 

Bagi pengetahuan adik-adik juga, cara pemakanan sihat boleh menghindarkan daripada penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung dan darah tinggi. Sebenarnya kedua jenis penyakit ini masih menjadi punca utama kematian di hospital di negara ini. Jadi, adik-adik hendaklah menjaga aspek pemakanan seharian. Pemakanan yang baik penting untuk pembesaran yang sempurna. 


Jaga Berat Badan 

Dalam mengamalkan gaya hidup sihat, adik-adik perlu menjaga berat badan. Sekiranya makan berlebihan kemungkinan 
mengundang penyakit jantung. Penyakit tersebut adalah berpunca daripada masalah permakanan, kegemukan, tekanan darah tinggi, kurang bersenam, tekanan perasaan, dan sebagainya. 

Amat penting, adik-adik perlu mengurangkan makan yang berlemak. Sebenarnya lemak merupakan sumber kalori yang padat. Pengambilan lemak yang berlebihan dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung dan menyebabkan kegemukan. Bagi mengelakkan risiko menjadi gemuk, adik-adik perlu bijak memilih makanan mengikut keperluan badan. Makanan yang dimakan bukan sekadar untuk mengenyangkan perut semata-mata tetapi makanlah demi kesihatan tubuh. 


Petikan daripada Dewan Pelajar, Mac 2004

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Peluang Kerjaya Jururawat

Peluang Kerjaya Jururawat
Rebutlah Peluang Kerjaya Ini..Budak Pj doakan kalian semua berjaya kelak....peace :)