Khamis, 4 Oktober 2012

Khidmat Masyarakat Di PulaU CareY, Banting.


RefLekSi Program KhidmaT MaysaRakaT


Seminggu sebelum tarikh pelaksanaan program Khidmat Masyarakat ini, pengerusi program dan beberapa orang ahli jawatankuasa telah pergi ke Pulau Carey untuk meninjau kawasan tempat untuk melaksanakan program ini. Selain itu, beberapa aktiviti telah dapat dirancangkan setelah peninjauan tempat dijalankan. Sewaktu melawat Sekolah Kebangsaan Sungai Bumbun, ahli jawatankuasa telah dapat merancangkan aktiviti yang ingin dijalankan iaitu aktiviti sukaneka dan senam robik. Aktiviti sukaneka ini dibahagikan mengikut tahun murid-murid itu. Oleh itu, sebanyak enam jenis sukaneka telah dirancangkan untuk dijalankan sewaktu melaksanakan program khidmat masyarakat di sekolah ini.
           Pada tarikh 26 & 27 September yang lalu, segala perancangan yang telah dirancangkan di laksanakan dengan sebaik mungkin mengikut perancangan yang dibuat. Pada tarikh 26 September iaitu pada hari Rabu, setelah kami tiba ke Pulau Carey dengan menaiki bas Institut kami terus bertapak di Pusat Kraf Tangan Mah Meri. Sewaktu kami tiba di situ, kami telah di sambut baik oleh supervisor yang mengendalikan projek kami sewaktu berada di situ. Kami telah diberi penerangan terlebih dahulu mengenai adat dan budaya masyarakat orang asli Mah Meri serta berkesempatan melawat keseluruhan kawasan Pusat Kraf Tangan ini. Aktiviti ini adalah bertujuan untuk bertukar adat mengenai masyarakat orang asli di perkampungan Mah Meri ini. Setelah selesai aktiviti pertukaran adat dan percambahan ilmu pengetahuan ini, kami memulakan sesi gotong-royong pada tepat jam 2 petang. Sebelum itu, ahli jawatankuasa aktiviti telah membahagikan semua pelajar kepada 5 kumpulan kecil bagi membolehkan kerja-kerja diagihkan kepada kumpulan yang lebih kecil. Kerja-kerja yang telah diberikan oleh pengusaha pusat kraf tangan itu ialah seperti memotong rumput, membersihkan habuk-habuk pada siling dan kipas bangunan, membuang rumput yang terdapat pada pagar dan juga menyapu kawasan sekeliling pusat kraf tangan ini. Kerja gotong-royong ini dijalankan sehingga pukul lima petang. Semua peserta program menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin dan menunjukkan kesungguhan walaupun sudah letih kerana aktiviti gotong-royong dijalankan di bawah terik panas matahari.
            Selepas selesai menjalankan gotong-royong, kami seterusnya belajar membuat anyaman daripada beberapa orang penduduk orang asli daripada perkampungan Mah Meri ini. Mengayam adalah merupakan satu kemahiran utama yang mana setiap penduduk di perkampungan Mah Meri ini mampu untuk mengayam dengan menggunakan daun nipah. Kemahiran mengayam mereka juga sangat tinggi dan dapat melakukan beberapa bentuk anyaman dalam tempoh masa yang singkat sahaja. Antara anyaman yang berjaya dipelajari ialah anyaman burung, ikan dan juga rama-rama. Walaupun ramai di antara peserta program yang masih terkial-kial untuk membuat anyaman tersebut, namun atas usaha dan semangat untuk belajar, beberapa orang peserta program telah berjaya menyiapkan anyaman seperti yang telah diajar. Jelas sekali untuk mengayam adalah bukan sesuatu yang mudah. Begitu juga bagi diri saya sendiri di mana saya mengambil masa yang sangat lama untuk membolehkan saya membuat satu anyaman yang mudah sahaja. Pensyarah pembimbing juga tidak melepaskan peluang ini untuk mempelajari teknik-teknik untuk mengayam dengan menggunakan daun nipah. Ternyata hasil yang disiapkan adalah sangat menarik dan penuh kesenian. Itulah yang dinamakan hasil warisan turun temurun yang tidak akan pernah luntur daripada keturunan masyarakat perkampungan Mah Meri ini.
            Selesai mempelajari dan menyiapkan beberapa jenis anyaman bersama penduduk Mah Meri ini, kami pulang ke tempat penginapan kami iaitu di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat. Selesai membersihkan diri dan solat maghrib, kami semua pergi ke café untuk menikmati juadah makan malam kami bersama-sama. Selesai makan kami pulang semula ke bilik penginapan dan berehat untuk aktiviti yang seterusnya pada keesokan harinya. Pada tanggal 27 September 2012 tepat pada jam 7.00 pagi, kami semua telahpun menaiki bas dan terus bergerak ke Sekolah Kebangsaan Sungai Bumbun. Kami tiba di perkarangan sekolah tepat pada jam 7.40 pagi. Setelah berbincang dengan guru besar sekolah kami semua telah memulakan tugas masing-masing dengan menyiapkan tempat dan peralatan untuk aktiviti senamrobik dan juga sukaneka. Semua kerja-kerja ini dijalankan dalam kumpulan mengikut kepada kumpulan yang telah ditetapkan.
            Aktiviti program khidmat masyarakat pada pagi itu dimulakan dengan aktiviti senamrobik bagi semua murid daripada tahun 1 sehinggalah tahun 6. Saya dapat melihat keceriaan di wajah anak-anak murid ini kerana hari ini mereka akan mengikuti pogram yang telah dirancangkan oleh peserta program khidmat masyarakat ini. Kesemua murid-murid ini menunjukkan tingkah laku yang sangat baik dengan memberi kerjasama sepanjang aktiviti senamrobik dan sukaneka dijalankan. Selain itu, murid-murid juga sangat seronok dengan aktiviti yang dijalankan. Mereka kelihatan bersungguh-sungguh dalam permainan sukaneka yang dijalankan. Setelah selesai sukaneka, kami semua menyuruh murid-murid masuk semula ke dalam kelas masing-masing. Ini kerana kami ingin menyediakan tempat untuk upacara perasmian dan penyampaian hadiah. Ini kerana tetamu kehormat yang telah memberi sumbangan kepada semua peserta akan hadir bagi melihat perjalanan program yang dijalankan. Tetamu kehormat itu ialah Dato Haji Nordin Bin Haji Selamat iaitu DUN Sijangkang. Justeru itu, kami menggunakan kesempatan yang ada untuk meminta jasa baik beliau untuk menyampaikan hadiah kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Sungai Bumbun sempena aktiviti sukaneka yang telah dijalankan.
          Setelah selesai majlis penyampaian hadiah dan juga cenderamata itu, kami meneruskan agenda aktiviti yang seterusnya iaitu mengecat pintu pagar sekolah. Kesemua alatan mengecat telah disediakan oleh pihak sekolah. Kami hanya membantu mengecat sahaja. Aktiviti dimulakan dengan peserta lelaki sahaja yang mengecat manakala peserta perempuan pula membersihkan kawasan sekolah dan mencabut rumput di sekitar kawasan tanaman pokok bunga dan pasu bunga sekolah. Hasil kerjasama yang baik daripada semua peserta program ini, akhirnya kerja-kerja mengecat dapat disiapkan dalam tempoh masa yang agak singkat. Sebelum menjelang pukul  1 tengah hari, kami semua telah berjaya menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan dengan sebaik mungkin.
            Selesai kesemua kerja-kerja kami di Sekolah Kebangsaan Sungai Bumbun ini, kami mula mengemas barang-barang yang telah dibawa untuk pulang semula ke IPG. Sebelum kami pulang, kami telah mendapat jemputan makan tengah hari di sebuah restoran yang terletak di tepi sungai daripada Dato Haji Nordin Bin Haji Selamat, DUN Sijangkang. Hal ini adalah kerana kami telah berjaya melaksanakan projek khidmat masyarakat di daerah Sijangkang ini dengan jayanya. Kami telah dihidangkan dengan makanan yang sangat sedap dan lazat.
            Setelah selesai menjamu selera pada tengah hari tersebut, kami semua memulakan perjalanan pulang ke Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas tepat pada pukul tiga petang. Kesemua peserta program gembira dan bersyukur kerana program yang telah dirancangkan berjaya dilaksanakan mengikut apa yang telah dirancang dengan sebaik mungkin.

Dekat bawah nie aku kongsikan sedikit gambar program khidmat masyarakat dijalankan.

rumput-rumput yang sudah di potong di kutip untuk di buang

cuci pagar yang penuh dengan rumput

tolong trim pokok pisang bagi cantik..haha

sempat lagi nak menyumpit..orang asli betul...


cuba try cari jodoh dengan permainan cari jodoh

murid SK Sungai Bumbun(A) sedang bermain sukaneka pecahkan belon

jom memancing botol...hee

abang2 tough tengah pasang banner program

seronoknye mereka...
muka gembira bersama anak-anak orang asli di Pulau Carey

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Peluang Kerjaya Jururawat

Peluang Kerjaya Jururawat
Rebutlah Peluang Kerjaya Ini..Budak Pj doakan kalian semua berjaya kelak....peace :)