Tajuk
1
|
SEJARAH DAN PERKEMBANGAN PENDIDIKAN
JASMANI SUAIAN
|
Sinopsis
Tajuk-tajuk dalam modul ini merangkumi sejarah
dan perkembangan Pendidikan Jasmani Suaian di sekolah, bagi masyarakat kurang
upaya dan juga untuk murid kurang upaya. Modul ini juga dibekalkan dengan
soalan latihan dan senarai bahan rujukan.
Hasil Pembelajaran
Setelah selesai membaca modul ini, diharap anda
dapat:
- menjelaskan sejarah dan perkembangan Pendidikan
Jasmani Suaian di sekolah bagi masyarakat kurang upaya dan murid kurang
upaya di Malaysia.
- menghuraikan sejarah dan perkembangan Pendidikan
Jasmani Suaian di sekolah bagi masyarakat kurang upaya dan murid kurang
upaya di Malaysia.
- menterjemahkan
kandungan kurikulum secara umum dan spesifik kepada aktiviti pembelajaran
yang lebih bermakna.
Kerangka konsep tajuk-tajuk modul ini
KANDUNGAN
1.0 Pengenalan
Pendidikan Jasmani merupakan saatu mata pelajaran yang
penting dalam kurikulum pendidikan formal sistem pendidikan di Malaysia.
Walaupun mata pelajaran Pendidikan Jasmani tidak diuji dalam peperiksaan awam
di Malaysia, subjek ini nyata signifikan kerana merupakan satu-satunya bidang
pendidikan yang menekankan elemen jasmani yang tidak disentuh oleh mata
pelajaran lain dalam hal berkaitan dengan empat elemen penting pendidikan
iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek. Tambahan lagi, selain daripada merupakan
bidang ilmu itu sendiri, mata pelajaran ini menyumbang kepada kecergasan
semasa seseorang murid dan mampu menerapkan amalan bersenam untuk kesihatan
di luar waktu sekolah malah untuk amalan sepanjang hayat.
1.1 Sejarah perkembangan pendidikan jasmani
suaian.
1.1.1 Dunia
Pada tahun 1883 Sekolah Perkins telah memperkenalkan
pendidikan jasmani untuk masalah penglihatan dalam bentuk latihan secara
terbuka. Manakala pada tahun 1840, mereka telah pergi ke Boston untuk latihan
gimnastik bagi murid bermasalah penglihatan dan mereka telah dapat menyesuaikan
diri dengan kategori tersebut.
Semasa
abad ke-20, didapati ramai askar yang telah tercedera dan mengalami kecacatan
kekal serta hilang upaya semasa perang dunia telah digalakkan untuk menyertai
aktiviti fizikal dan sukan rekreasi. Ia sebagai pemulihan menjalani kehidupan
seharian seperti sedia kala sebagaimana insan lain yang normal dikenali
sebagai ’Therapeutic Recreation’.
Konsep ’Therapeutic Recreation’ telah
berkembang secara terancang di Amerika di mana hospital dan sekolah
meneruskan penggunaan kaedah rekreasi sebagai salah satu terapi.
Ketika salah sebuah hospital di United Kingdom
menggunakan model ’Therapeutic
Recreation’ Amerika, konsep kesukanan dan pertandingan bagi orang kurang
upaya telah disedari pertama kalinya oleh Guttmann di Hospital Stoke Mandeville,
England. Walaupun objektif bagi intervensi Guttmann adalah untuk menghasilkan
aktiviti rekreasi terapi pada mulanya, beliau kemudiannya menyedari potensi
sukan untuk pertandingan yang lebih luas lagi. Berikutan peristiwa tersebut,
Guttmann dan Pertubuhan Sukan Stoke Mandeville antarabangsa telah dikenali
sebagai inspirasi dan pelopor perkembangan awal sukan bagi orang kurang
upaya. Salah satu pertandingan antarabangsa yang terawal untuk orang kurang
upaya diadakan pada tahun 1948. Kelab-kelab sukan dan hospital-hospital
dijemput pada tahun itu ke Stoke Mandaville yang kebetulan pada tahun yang
sama Sukan Olimpik turut diadakan di London.
1.1.2 Malaysia
Mata pelajaran pendidikan jasmani untuk kanak-kanak
normal telah lama diajar di semua sekolah kerajaan dan swasta sejak sebelum
merdeka lagi. Walau bagaimanapun tahap pengajaran telah menurun secara
mendadak selepas kemerdekaan terutamanya pada tahun 1970 an (Hamdan Mohd. Ali, 2002). Antara
masalah yang dikenalpasti ialah pengabaian mata pelajaran pendidikan jasmani
kerana tidak diuji di dalam peperiksaan, kekurangan guru terlatih dalam
bidang ini, kemudahan dan peralatan yang tidak mencukupi, tiada sokongan dari
masyarakat sekolah dan ibu bapa, cuaca tidak mengizinkan dan guru yang tidak
jelas dengan matlamat pendidikan jasmani (Hamdan
2002, de Vries 1995, Abu Bakar Miskon 1987, Daud Salleh 1985, Chee Swee Ming
1985). Begitu juga dengan aktiviti pendidikan jasmani yang dijalankan di
sekolah-sekolah khas, walaupun terdapat garis panduan yang dinyatakan dalam
Surat Pekeliling Pendidikan Khas 1979-1991 tetapi sehingga kini belum
terdapat satu garis panduan yang jelas mengenai pelaksanaan aktiviti tersebut
di sekolah-sekolah khas (Unit
Pendidikan Khas, 1992).
Pendidikan
Jasmani Suaian merupakan kursus wajib yang diperkenalkan untuk semua bakal
guru Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pendidikan khas yang ditawarkan oleh
Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia. Lebih seribu orang guru
yang mempunyai pendedahan dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani Suaian
telah dikeluarkan oleh UKM sejak kursus ini diperkenalkan pada tahun 1995.
Sehingga
kini, kanak-kanak berkeperluan khas tidak diabaikan kerana Kementerian
Pelajaran Malaysia turut mewujudkan mata pelajaran Pendidikan Jasmani Suaian
untuk memberi peluang kepada golongan ini mengalami proses pembelajaran yang
merangkumi aspek psikomotor, kognitif dan afektif. Oleh sebab itu, kita dapat
lihat kelas khusus untuk Pendidikan Khas diwujudkan dan terdapat beberapa
slot dalam pengajaran dan pembelajaran mereka melibatkan Pendidikan Jasmani
Suaian agar tahap psikomotor, kognitif dan afektif mereka dapat dikembangkan
dengan seimbang.
Oleh
sebab kanak-kanak Pendidikan Khas memerlukan pemerhatian yang lebih agar
mereka dapat dikawal dan mengelakkan berlakunya kecederaan, kebiasaannya
guru-guru yang mengajar mereka akan dibantu oleh pembantu. Senario ini biasa
dilihat, kanak-kanak yang terdiri daripada golongan ini akan dilatih di
sekolah tentang cara bagaimana untuk menggunakan fizikal dan anggota badan
mereka dalam pengurusan diri. Seterusnya, guru akan menambahkan pengetahuan
mereka dengan melatih kemahiran motor halus dan motor kasar mereka. Ianya
boleh diaplikasikan dalam sukan dan permainan yang dipelajari di sekolah.
Contohnya menyambut bola besar (kemahiran motor kasar).
Setelah
didedahkan dengan kemhiran-kemahiran tersebut, mereka mampu melakukan
aktiviti fizikal yang lebih berfokus seperti aktiviti dalam sukaneka dan juga
bertanding di di peringkat lebih tinggi dalam bidang sukan bagi membuka
peluang kepada mereka mengembangkan bakat dan kemahiran yang diperolehi.
Ternyata melalui Pendidikan Jasmani Suaian, murid berkeperluan khas dapat
mengembangkan kemahiran yang ada dan melatih diri mereka memaksimumkan
penggunaan fizikal dengan betul dan selamat.
1.1.3 Prinsip dalam penyusunan
pendidikan jasmani suaian
Dauer dan Pangrazi (1979) telah mencadangkan kurikulum
yang dirangka adalah merupakan
kesinambungan ke program pendidikan jasmani. Pemilihan aktiviti pula
adalah berdasarkan potensi individu dan pihak guru atau pengurusan perlu mempunyai kesedaran terhadap kurikulum
tersembunyi tersebut. Perancangan yang dibuat juga perlu berdasarkan kaedah
kawasan lapangan mencakupi lebih daripada populasi supaya integrasi berlaku.
Kurikulum juga perlu luas dan seimbang
yakni tidak tersekat dan program tersebut memenuhi kehendak semulajadi. Ianya
juga merupakan pengabungan nilai pendidikan dan kelebihan individu dan
perancangan latihan yang bersistematik serta menggalakkan pembelajaran motor.
1.2 Pendidikan
Jasmani Untuk Masyarakat Kurang Upaya
Pendidikan Jasmani mampu menjadi medium atau alat untuk
masyarakat kurang upaya untuk memperkembangkan aspek fizikal, mental dan
sosial mereka. Seperti yang kita sedia maklum, golongan masyarakat kurang
upaya adalah agak lemah dalam ketiga-tiga aspek ini. Kekurangan daripada
aspek fizikal akibat kecacatan dan kelemahan yang dipunyai oleh mereka dan
ditambahkan pula persepsi negatif masyarakat terhadap golongan ini
menyebabkan tahap keyakinan diri mereka agak rendah dan membataskan pergaulan
sosial mereka. Oleh sebab itu, Pendidikan Jasmani mampu melatih mereka
meningkatkan tahap keyakinan diri.
Melalui
Pendidikan Jasmani, mereka boleh melakukan aktiviti fizikal yang mempunyai
bentuk yang hampir sama dengan aktiviti untuk individu yang normal kerana
mereka juga seharusnya diberi peluang yang sama dengan rakan sebaya yang
lain. Tetapi mereka memerlukan kemudahan dan penyediaan aktiviti yang
bersesuaian. Setiap aktiviti yang dirancang boleh diubah suai agar
bersesuaian dengan mereka. Aspek-aspek lain yang boleh diambil kira ialah
pemilihan tempat untuk melakukan aktiviti, tempoh masa, kadar latihan dan
sebagainya.
Selain
itu, Pendidikan Jasmani juga dapat membantu memperkembangkan aspek fizikal
masyarakat kurang upaya melalui aktiviti senaman, latihan fizikal dan
kemahiran yang bersesuaian. Ini seterusnya membolehkan mereka mampu melakukan
aktiviti-aktiviti dalam menghadapi kehidupan seharian. Dengan kemampuan yang
diperolehi ini dapat meningkatkan lagi tahap keyakinan diri mereka supaya
dilihat sebagai individu yang normal dan diterima dalam masyarakat.
Penguasaan
kemahiran yang diperolehi ini juga dapat memberi pendedahan kepada mereka
untuk berkomunikasi dan bersosial bersama-sama rakan sebaya serta masyarakat
sekitar. Di samping itu juga, dengan kemahiran tahap tinggi yang dikuasai
dapat memberi peluang kepada mereka untuk mengasah bakat atau kemahiran
bertanding ke peringkat yang lebih tinggi seperti sukan paralimpik iaitu
sukan untuk golongan Orang Kurang Upaya.
1.3 Pendidikan
Jasmani Suaian Untuk Murid Kurang Upaya
Menurut Auxter, Pyfer dan Huettig (1998), aktiviti
jasmani yang bersesuaian dengan keupayaan pelajar berkeperluan khas boleh
membantu golongan ini mengurangkan kelemahan dan masalah fizikal yang
dihadapi oleh mereka. Kebiasaannya, kanak-kanak berkeperluan mempunyai
masalah fizikal iaitu pertumbuhan otot, deria yang tidak sempurna, kognitif
yang agak lemah dan pergaulan sosial yang agak terbatas. Oleh sebab itu,
aspek-aspek dalam Pendidikan Jasmani telah diserapkan dan wujudlah mata
pelajaran Pendidikan Jasmani Suaian khusus bagi golongan ini.
Namun
demikian, murid yang terdiri daripada golongan ini memerlukan pendekatan
berbeza mengikut kemampuan mereka dan aktiviti yang disediakan juga perlulah
bersesuaian dengan tahap kebolehan mereka. Aktiviti Pendidikan Jasmani Suaian
adalah melibatkan kanak-kanak berkeperluan khas, maka aktiviti fizikalnya
juga diubah mengikut kesesuaian keperluan mereka. Guru-guru Pendidikan
Jasmani untuk murid Pendidikan Khas perlu merangsang sistem paqncaindera
murid supaya mereka memaksimumkan penggunaan pancaindera seterusnya
merangsang mereka melakukan aktiviti fizikal.
Murid-murid
berkeperluan khas akan melakukan aktiviti fizikal dalam keadaan yang
menyeronokkan iaitu tanpa tekanan dan paksaan. Mereka perlu diajar secara
berperingkat-peringkat. Antara lain Pendidikan Jasmani Suaian dilaksanakan
untuk murid-murid kurang upaya di sekolah ialah:
1.3.1 merangsang penggunaan sistem pancaindera
murid-murid kurang upaya.
1.3.2 melatih murid-murid kurang upaya
menggunakan anggota badan dalam melakukan aktiviti fizikal dengan betul.
1.3.3 membantu murid-murid dalam perkembangan
kemahiran motor halus dan motor kasar.
1.3.4 mengajar murid-murid kurang upaya untuk
memanfaatkan fizikal mereka dalam
melakukan aktiviti seharian sama ada di rumah atau di sekolah dengan cara
yang betul.
1.3.5 memberi pendedahan kepada mereka tentang
permainan tradisional, permainan, sukan dan rekreasi serta membawa mereka
mengalaminya sendiri.
1.3.6 membantu mereka melakukan aktiviti
fizikal dengan cara yang selamat tanpa terdedah kepada kecederaan.
1.3.7 dapat mengesan bakat yang ada dalam diri
agar guru mampu memberi latihan yang bersesuaian dan bertanding ke peringkat
yang lebih tinggi lagi.
1.3.8 menghilangkan rasa tertekan, rendah diri
serta kesedihan yang dialami oleh mereka.
1.3.9 meningkatkan aspek kehidupan ke tahap
yang lebih tinggi agar mereka dapat menguruskan diri mereka dengan baik.
1.3.10 mempertingkatkan tahap perkembangan diri
yang lebih baik ke arah kedewasaan yang mantap.
1.3.11 sebagai medium atau ruang untuk
murid-murid kurang upaya meluahkan atau mengekspresikan emosi dengan betul.
1.3.12 meningkatkan tahap keyakinan diri dan
perasaan harga diri serta menimbulkan imej diri yang positif.
1.3.13 merangsang minda murid-murid kurang upaya
menjadi kreatif (perkembangan kognitif)
Diperolehi daripada ;
Puan Hafidzah Ab. Khafidz
Pensyarah Sains Sukan
IPG Kampus Ilmu Khas.
|
tk..bnykn mmbntu~~~
BalasPadamwelcome.... :)
BalasPadam